Hari Keluarga PPPBCJ Melaka 2011 telah diadakan pada 29-30 Januari 2011 di Royal Puteri Beach Resort, Melaka. Hari Keluarga ini telah mendapatkan sambutan yang baik dari kalangan ahli. Seramai 32 keluarga telah menyertai hari keluarga ini melibatkan 119 orang dengan 77 orang dewasa dan 42 orang kanak-kanak. Ini juga merupakan penyertaan tertinggi selepas Hari Keluarga PPPBCJ Hot Springs Sungkai. Pihak PPPBCJ memang mengalu-alukan penyertaan dari kalangan ahli dan penduduk Taman Cheras Jaya. Dengan ada penyertaan ini, kita boleh mengeratkan lagi semangat kejiranan, keharmonian disamping mengenali sesama sendiri.
Semua peserta Hari Keluarga mula berkumpul seawal jam 8.30 pagi di padang permainan Fasa 2B. Taklimat dan agenda program telah disampaikan oleh Encik Ibrahim selaku setiausaha program. Semua peserta telah berkerjasama membahagi dan membawa hadiah-hadiah hamper yang telah disediakan oleh pihak penaja. Peta perjalanan ke resort telah diedarkan untuk panduan peserta. Semua ahli mula bergerak menuju Melaka jam 10.00 pagi.
Lebih kurang jam 12.00 tengahari, semua peserta telah sampai di resort. Peserta mula mendaftar untuk mendapat bilik penginapan mengikut tempahan yang dibuat sebelum ini. Ada yang menempah bilik Studio dan ada yang pilih Apartment 2 bilik mengikut kesesuaian keluarga. Pihak resort telah menyediakan minuman "Welcome Drink" untuk peserta ketika sampai ke resort. Ada beberapa peserta yang akan hadir disebelah petang dan malam disebabkan masih ada urusan yang tidak dapat dielakkan.
Selepas mendaftar, semua peserta memunggah beg dan keperluan masing-masing ke bilik penginapan. Selepas rehat sebentar, semua peserta turun ke Dewan Makan untuk jamuan makan tengahari. Ada sebahagian peserta yang belum bersarapan pagi lagi. Makanan yang disediakan oleh pihak resort begitu sedap dan menyelerakan. Selepas menjamu selera, semua peserta kembali ke bilik penginapan untuk berehat dan menunaikan solah jamak zohor dan asar sebelum menyertai program berikut disebelah petang.
Tepat jam 2.45 petang semua peserta berkumpul di perkarangan lobi menunggu bas untuk ke Banda Melaka bagi menaiki Menara Taming Sari, Membeli-beli dan Cruise menyusur Sungai Melaka. Dua bas telah disediakan menunggu kami. Setelah semua peserta menaiki bas, jam 3.00 petang, bas mula bergerak menuju Banda Melaka. Ada sebahagian peserta menaiki kenderaan sendiri untuk keselesaan mereka. Ini disebabkan ada sebahagian peserta membawa ibu bapa yang boleh dikategorikan warga emas. Bagi mereka yang membawa kenderaan sendiri, mengekori bas dari belakang.
Setiba kami di Banda Melaka, destinasi pertama adalah Menara Taming Sari (MTS) di Jalan Melaka, Bandar Hilir, Melaka. MTS ini adalah salah satu tarikan pelancongan di Melaka. Menara ini telah siap dibina dan dibuka pada 18 April 2008. Ia adalah ilham oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam. Menara peninjau ini berketinggian 110 meter dibina berasaskan lagenda Keris Taming Sari yang digunakan oleh lagenda pahlawan melayu, Hang Tuah. Menara ini dibina menggunakan teknologi Switzerland dan merupakan Gyro Tower pertama di Malaysia.
Kabin MTS ini berpusing 360 darjah dan boleh muat seramai 66 penumpang dalam satu-satu masa. Ini mengambil masa selama 7 minit untuk naik, tinjau dan turun semula bagi satu perjalanan. Daripada naik pada ketinggian 80 meter, kita boleh melihat pemandangan panorama dan keindahan Banda Melaka Bandaraya Bersejarah, Kita juga boleh melihat tempat pelancongan seperti Bukit St. Paul, Bangunan Memorial Kemerdekaan, Muziam TLDM dan Kapal, Flor De La Mar, Sungai Melaka, Dataran Pahlawan. Masjid Negeri Pulau Selat, Pulau Besar dan Selat Melaka.
Setelah menaiki kabin Menara Taming Sari, semua peserta dibawa ke Bazar Kraftangan dan barangan tradisional. Di bazar ini, kita boleh beli dodol, cencalok, barang-barang antik, kraftangan dan baju-baju T-shirt bertemakan Melaka. Lebih kurang 40 minit diberikan kepada peserta sebelum menikmati masakan Asam Pedas Melaka.
Pada jam 5.30 petang, kami semua dibawa berjalan menuju ke Gerai My Asam Pedas yang terletak bersebelahan Mazium TLDM. Pihak persatuan terharu melihat kesediaan ahli-ahli beratur walaupun hujan renyai-renyai dan membantu pihak cafe dalam menyediakan hidangan.
Sesudah menikmati masakan Asam Pedas Melaka, kami semua bergerak menuju jeti Cruise yang terletak berdekatan dengan Muzium Kastam Diraja Malaysia. Menaiki cruise ini mengambil masa lebih kurang 40 minit dan sesuai pada masa matahari terbenam. Panorama ini dapat melihat keindahaan alam yang melalui dua suasana iaitu siang dan malam. Pengembaraan ini bermula dari muara Sungai Melaka ke Kampung Morten dengan jarak perjalanan sejauh 10 km dan berpatah-balik di Villa Sentosa di tebing sebelah kiri. Pemandu bot merangkap sebagai pemandu pelancong akan menerangkan peristiwa dan kesan sejarah yang terdapat di Sungai Melaka semasa menyusurinya. Kita akan melihat deretan bangunan, kedai dan gudang lama, jambatan, perkampungan melayu yang mempunyai sejarah tersendiri.
Setelah habis selesai cruise ini, semua peserta dibawa pulang ke resort untuk acara malam pula.
Setelah selesai mandi dan solat jamak Maghrib dan Isyak, lebih kurang jam 9.30 malam, acara seterus adalah Makan Malam BBQ serta Cabutan Hadiah Hamper.Kelainan sedikit daripada hari keluarga yang lepas-lepas dimana semua para isteri diberi penghormatan untuk mencabut undi dan seterusnya menyampaikan hamper kepada penerima. Ini adalah satu cara untuk memperkenalkan isteri masing-masing kepada warga PPPBCJ. Acara ini di selang-seli dan diserikan dengan nyanyian karaoke oleh peserta yang memaperkan bakat terpedam mereka. Encik Jamal Khir telah berjaya memenangi hadiah Hamper Utama. hadiah ini disampaikan oleh Y.Bhg Dato' Mustapa selaku Naib Pengerusi PPPBCJ.
Selepas majlis ini ada diantara peserta yang mencuba nasib memancing ditepi pantai. Walaupun acara memancing tiada dalam aturcara program, ramai juga ahli yang membawa pancing. Maklumlah inilah masa nya yang dapat memancing bersama-sama jiran.
Keesokan selepas menikmati sarapan pagi, sesi senaman ringkas memanaskan badan dibuat sebelum sukaneka diadakan. Sukaneka dikelolakan oleh pihak resort. Permainan yang disediakan melibatkan semua peringkat, dari acara kanak-kanak 2-3 tahun hingga ke kategori pasangan sumai-isteri. Sukaneka ini mengambil masa lebih kurang 2 jam. Semua peserta yang berjaya dihadiahkan hamper setiap seorang. Acara kemuncak adalah acara mengikat rambut suami oleh isteri bagi kategori pasangan suami-isteri.
Selepas selesai sukaneka, para peserta bersama ahli keluarga bermandi-manda di kolam renang resort. Suasana kelihatan begitu seronok anak-anak peserta bermain air dan berenang. Anak-anak kecil dengan gelagat mereka, bagi remaja, mereka seronok dengan cara mereka.
Aturcara terakhir adalah makan tengahari sebelum pulang ke rumah kediaman. Selepas makan dan dalam perjalanan pulang, ada antara peserta yang pergi ke jeti untuk membeli ikan-ikan segar untuk dibawa pulang.
Aturcara terakhir adalah makan tengahari sebelum pulang ke rumah kediaman. Selepas makan dan dalam perjalanan pulang, ada antara peserta yang pergi ke jeti untuk membeli ikan-ikan segar untuk dibawa pulang.
Pihak persatuan merakamkan dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua AJK, ahli PPPBCJ dan penduduk Taman Cheras Jaya yang menyertai Hari Keluarga. Sokongan dan kerjasama anda, pihak PPPBCJ sangat terharu, lebih-lebih sedia mengharungi hujan sepanjang kita berada di Melaka ini. Beberapa program terpaksa dipinda terutama acara sukaneka di pantai.
Pihak PPPBCJ juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Melaka terutamanya Dato' Seri Mohd Ali Rustam, Metrowealth (MIG) melalui CEO nya Encik David Teo, Datuk Mustapa dan mereka yang menyokong, menaja dan menyumbang bagi menjayakan Hari Keluarga PPPBCJ Melaka 2011 ini. Budi baik anda, kami tidak akan lupakan.
Pihak PPPBCJ juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Melaka terutamanya Dato' Seri Mohd Ali Rustam, Metrowealth (MIG) melalui CEO nya Encik David Teo, Datuk Mustapa dan mereka yang menyokong, menaja dan menyumbang bagi menjayakan Hari Keluarga PPPBCJ Melaka 2011 ini. Budi baik anda, kami tidak akan lupakan.