20 Februari 2011

PPPBCJ Dalam Perarakan Sambutan Maulidur Rasul 1432H Masjid TCJ

15 Februari 2011. Masjid Taman Cheras Jaya (MTCJ) telah mengadakan Sambutan Maulidur Rasul 1432H. Majlis sambutan ini bermula pada jam 8.00 pagi dengan pendaftaran kontijen yang akan menyertai perarakan. PPPBCJ mendaftar menyertai perarakan ini bersama 20 kontijen yang lain dari masyarakat dan khariah masjid. Pihak masjid menyediakan sarapan ringan, sebungkus roti dan sekotak air minuman untuk semua peserta sebagai pengalas perut sebelum perarakan bermula.



Perarakan kontijen bermula jam 8.45 pagi. Laungan Selawat sambil berarak oleh semua peserta. Perarakan bermula dari Masjid ke JALAN 9C, kemudian masuk jalan utama JALAN CJ3, pusing ke jalan tapak pasar malam JALAN CJ16, sebelum Fasa 3, berpatah balik masuk ke JALAN 9, pusing ke JALAN 9D dan masuk semula ke Masjid. Jarak perjalanan ini lebik kurang 1.5km. Perjalanan kali ini telah dipendekkan sedikit daripada jarak perjalanan tahun lalu. Jarak perjalanan adalah kehendak ahli jemaah memandangkan faktor usia. Perarakan ini mengambil masa 45 minit untuk selesai.


Selepas perarakan, semua peserta disediakan air minuman untuk menghilangkan dahaga Cuaca pagi adalah baik walaupun kita masih kedengaran beberapa tempat terutama di Johor mengalami masalah banjir. Kita berasa syukur kerana tempat kita ini tidak mengalami bencana tersebut.


Sebelum majlis perasmian dan ceramah dimulakan, majlis diserikan dengan persembahan beberapa dendangan lagu-lagu Nasyid dari kumpulan-kumpulan yang ditubuhkan dikalangan khariah masjid. Kumpulanan tersebut dari Sekolah Agama KAFA dan Surau Nurussobah, Taman Setia Balakong.


Majlis Sambutan telah dirasmikan oleh Nazir Masjid, Tuan Haji Azman Idris. Selepas dirasmikan, penyampaian hadiah kepada kontijen-kontijen yang menyertai perarakan sambutan maulidur rasul. Beberapa kategori pertandingan disediakan. Sekolah Agama KAFA Manbaeil Uloom memenangi kategori keseluruhan. PPPBCJ memenangi tempat ketiga kategori Sepanduk. Hadiah disampaikan oleh Nazir Masjid.


Acara kemuncak adalah Ceramah oleh Ustaz Yusri bin Abdul Karim. Tajuk ceramah adalah "Rasullah s.a.w Ikutan Sepanjang Zaman" yang juga tema samabutan peringkat negeri Selangor. Antara inipati ceramah beliau adalah, kita umat Islam mesti tahu dan mengenali Nabi, kaum kerabat dan sahabat-sahabat Nabi. Untuk mengenali Nabi Muhammad s.a.w, kita perlu juga mengenali kaum kerabat beliau kerana mereka ini adalah bersama Nabi dikebanyakkan waktu. Kita sepatutnya mempunyai Buku Riwayat atau Salasilah Nabi Muhammad sebagai bacaan, rujukan dan pengajaran dirumah kita. Ikutan sunah paling mudah diikuti adalah memberi salam ASSALAMUALAIKUM dan SENYUMAN. Semoga kita dapat mengikutinya.


Sumbangan Nasi Brayani oleh Restoran Ali Bistro kepada setiap seorang mengakhiri masjis sambutan. Majlis berakhir kira-kira jam 12.15 tengahari.

Klik untuk Lihat gambar-gambar lain

Tiada ulasan:

Catat Ulasan